Rumah bagi saya ada pelbagai maksud.
Rumah adalah sebuah bangunan yang kita tinggal di dalamnya. Bahan binaan boleh
jadi batu, katu dan besi. Frasa ‘rumahku syurgaku’, ‘home sweet home’, baiti jannati sering digunakan untuk menerangkan
erti rumah. Tapi saya lihat, ada sahaja rumah yang tidak menjadi ‘syurga’.
Kembali ke rumah tidak lagi menenangkan. Menyerabutkan, rimas, bergaduh,
pentingkan diri, ahli rumah tidak lagi dirasakan seperti ahli – sehingga rasa
keluar dari rumah lebih menenangkan dan menggembirakan. Di mana syurganya? Di
spektrum yang lain, ada rumah yang merehatkan, tenteram, ahli saling membantu
dan segala sisi yang baik lagi. Mewujudkan ‘syurga’ itu tugas bersama ahli
rumah. Menyediakan ruang-ruang untuk bersama adalah satu keperluan.
Ada sebuah lirik yang saya tulis
berkenaan rumah. Tapi rumah yang dimaksudkan adalah tempat kembali seseorang
itu. Satu ruangan untuk dia kembali setelah membuat perjalanan jauh, merantau
dan berkelana. Ataupun tempat untuk seseorang yang tersesat, hilang arah,
hanyut di lautan, untuk kembali ke tempat yang selamat. Selepas anda baca
bait-bait di bawah, anda bebas memberikan tafsiran masing-masing.
Lirik di bawah ini ada cerita di
sebaliknya. Saya menulis lirik ini dengan ingatan seorang seorang teman yang dahulunya kami
bersama-sama melalui sebuah perjalanan. Tetapi di tengah-tengah perjalanan
tersebut, beliau tersalah arah. Kami tidak lagi bertemu di jalan tersebut. Saya
cuba mencari beliau untuk menunjuk arah kembali, tetapi tidak lagi dapat
berhubung dengan beliau. Loss contact.
Tapi saya percaya bahawa beliau cuma hilang sebentar. Kompas penunjuk jalan
yang beliau bawa hanya rosak seketika dan akan kembali berfungsi – itu doa
saya. Saban hari saya mengemas ‘rumah’ ini untuk menyambut kepulangan beliau.
Saya pastikan kasut-kasut tersusun, halaman rumah disapu bersih, lantai dicuci,
baju-baju dibasuh dan tidak lupa juga bunga-bunga disiram.
Hidupmu penuh dugaan
Di tempatmu membesar
Tetapi, dirimu tiada
Lemah kakimu melangkah
Jauh untukmu pulang
Terhenti, dirimu seketika
Berlegar penuh merana
Arahmu entah ke mana
Sepenuh hati kau gagahi
Saat itu, ku jua pernah merasa
Mentari pasti menantimu hari esok
Ini doaku untukmu, semat di dalam hatimu
KeranaNya, aku di sini, aku di sini
Sana...tiada yang mudah
Tapi kau hadapinya
KernaNya, dirimu kembali
Temanmu masih di sisi
Tak perlu kau tangisi
Inilah, janji bersama
Masa yang telah berlalu
Hanya mampu diingati
Hari esok akan kau buktikan
Seperti dulu ku masih ada di sini
Ku memanggilmu dengan lambaian harapan
Walau jauh kamu berlari tidak akan
ku lelah
KeranaNya, Aku di sini, aku di sini
Hidupmu penuh dugaan
Di tempatmu membesar
Tetapi, dirimu tiada
Sana...tiada yang mudah
Tapi kau hadapinya
KernaNya, dirimu kembali
Pulang semula, ini rumahmu
Saya doakan agar semua dapat kembali ke rumah
masing-masing dengan selamat.
_ _
amna
Mingxing Café
March 2015